ANUGERAH USAHAWAN TM 2010
KUALA LUMPUR, PROGRAM Pembangunan Usahawan (PPU) Telekom Malaysia (TM) dilihat sebagai satu platform untuk membentuk dan membimbing usahawan ke arah menjadi ahli perniagaan bertaraf dunia.Timbalan Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, usahawan yang bernaung di bawah PPU mempunyai kelebihan kerana diberi perhatian khusus dengan pelbagai program pembangunan serta pendedahan kepada bidang perniagaan baru. “PPU TM juga menjalin kerjasama erat bersama Miti dengan termeterainya Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara SME Corp dengan kementerian April lalu untuk sama-sama membangunkan usahawan PPU TM,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Anugerah Usahawan TM di Kuala Lumpur, minggu lalu.Beliau berkata, TM turut diharap dapat menjalin kerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), agensi di bawah Miti, melalui Institut Keusahawanan Pembangunan Negara (INSKEN) yang bertanggungjawab melatih dan membangunkan usahawan dalam pelbagai bidang, termasuk sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta telekomunikasi.Sementara itu, Pengerusi TM Datuk Dr Halim Shafie berkata, TM akan menekankan perubahan yang akan dilalui usahawan di bawah PPU. “Seiring perubahan dalam landskap perniagaan TM, usahawan di bawah PPU akan melalui proses transformasi untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif.“Kita sudah mengenal pasti dua elemen ini adalah antara kelemahan ketara dalam keputusan penilaian prestasi usahawan, maka kita jalankan aktiviti pembangunan melalui tema PPU 2010 ‘Transformasi Melalui Kreativiti Dan Ilmu’,” katanya. Mengenai anugerah itu, Halim gembira dengan usahawan dan vendor TM yang menunjukkan prestasi menggalakkan sepanjang 2009.
Majlis anugerah itu menyaksikan Nurkamal Network Sdn Bhd muncul penerima anugerah Usahawan Terbaik 2010 - sektor perkhidmatan (Mini Jadual Kadar Harga, Trouble Restoration Outsourcing, Cash On Delivery dan Streamyx Installer)
|